KEBAIKAN SEMANGAT KEJIRANAN

Antara kebaikan semangat kejiranan ialah kita akan mudah mendapat bantuan jika kita menghadapi sesuatu masalah.  Seperti yang kita sedia maklum bahawa kehidupan kita tidak dapat lari daripada perkara luar dugaan seperti kebakaran, kemalangan atau kematian.  Jika kita menghadapi sesuatu bencana sudah tentunya jiranlah orang yang paling cepat dapat membantu kita.  Begitu juga jika kita sakit, jiranlah yang kita harapkan untuk menghantar kita ke klinik atau hospital bagi mendapatkan rawatan.

Selain itu, semangat kejiranan yang terjalin akan menjamin keselamatan tempat tinggal kita. Semangat kejiranan akan mendorong jiran kita menjaga keselamatan tempat tinggal kita.  Jika jiran kita mendapati ada orang yang tidak dikenali datang atau memasuki rumah kita pada waktu kita tiada di rumah, jiran pasti akan menghubungi kita.  Contoh pada musim perayaan, jika kita pulang ke kampung untuk menziarahi rumah saudara-mara, jiranlah orang yang kita harapkan dapat membantu menjaga rumah kita.

Kebaikan lain semangat kejiranan ialah jiran akan dapat membantu kita dalam menjayakan majlis keramaian.  Majlis keramaian yang kita adakan kadangkala memerlukan bantuan jiran di sekeliling kita.  Dengan adanya bantuan jiran ini majlis tersebut menjadi ringan dan berjaya dilaksanakan.

Semangat kejiranan yang terjalin juga membolehkan gejala negatif di tempat tinggal kita dicegah. Jiran yang baik, pastinya dapat mendidik dan menasihati anak mereka agar tidak melakukan perkara negatif yang boleh mengganggu ketenteraman membuat bising dan perkara berbahaya di kawasan kejiranan.

Di samping itu, semangat kejiranan membantu memupuk semangat perpaduan dikalangan rakyat dalam negara kita.  Perpaduan yang terjalin akan membolehkan rakyat hidup dalam keadaan aman dan damai.

Nyatalah semangat kejiranan banyak memberi manfaat baik kepada diri sendiri, penduduk setempat dan masyarakat umumnya.  Manfaat yang lebih besar ialah semangat kejiranan ini dapat mendorong terjalinnya hubungan baik antara kaum dan membawa kepada perpaduan kaum.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGUKUHKAN SEMANGAT KEJIRANAN

PUNCA-PUNCA SEMANGAT KEJIRANAN SEMAKIN LONGGAR DALAM KALANGAN MASYARAKAT