TANGGUNGJAWAB DALAM SEMANGAT KEJIRANAN
Dalam masyarakat Melayu tradisional, fungsi dan tanggungjawab jiran dianggap penting oleh agama dan adat. Hal ini demikian kerana agama menegaskan keperluan yang dipikul bersama oleh semua anggota masyarakat bagi menunaikan sesuatu ibadat. Agama juga menganggap semua orang Islam itu bersaudara. Oleh itu, setiap anggota masyarakat dituntut beradap sopan dengan jiran tetangga kerana bersikap meninggi diri dan kasar tutur kata atau tingkah laku merupakan satu kesalahan moral. Sebaliknya, mereka perlu menjalin hubungan baik dan memuliakan jiran. Umpamanya, hasil tanaman tidak akan dijual, sebaliknya disedekahkan sahaja kepada jiran untuk mendapat ganjaran di akhirat. Adat Melayu pula mementingkan kesejahteraan hidup dalam masyarakat dengan hormat-meghormati antara satu sama lain. Jiran tidak boleh diketepikan dalam apa jua upacara sosial dan keagamaan, sama ada dalam suasana kegembiraan ataupun kesedihan. Dalam kenduri-kendara, jiran tetangga lebih diharapkan untuk membantu daripada saudara-mara yang tinggal berjauhan. Sikap yang mengabaikan tanggungjawab kejiranan akan menimbulkan implikasi negatif dalam kehidupan bermasyarakat.
Semangat kejiranan yang luhur ini diamalkan dalam kehidupan masyarakat Melayu dengan pelbagai cara. Mengucapkan salam, bertanya khabar, beramah mesra, nasihat-menasihati, bekerjasama dan bergotong-royong sesama jiran tetangga merupakan amalan sosial yang telah menjadi sebati atau bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat menggambarkan kekukuhan hubungan kejiranan mereka. Ungkapan berat sama dipikul, ringan sama dijinjing pula memperlihatkan kesediaan sesama jiran menghadapi susah senang bersama.
Bagaimanapun, apabila masyarakat Melayu mengalami perubahan dan pemodenan, ikatan kejiranan sedemikian telah semakin meluntur. Proses pembandaran telah membentuk budaya hidup baru berasaskan keperluan perdagangan. Perlumbaan mengejar taraf sosioekonomi yang lebih tinggi dan kesibukan pekerjaan setiap hari, menyebabkan mereka tidak menghiraukan jiran tetangga. Justeru, semangat kejiranan semakin digugat oleh perkiraan kepentingan individu berasaskan pengaruh kebendaan.
Comments
Post a Comment